PEMINAT SETIA

Sunday, April 10, 2011

Pengenalan kepada kaunseling

Setelah keputusan SPM dan STPM diumumkan tempoh hari, ada juga pelajar yang bertanya denganku tentang kaunseling. Mereka berminat untuk memohon bidang kaunseling. Untuk itu, aku akan berkongsi tentang DUNIA KAUNSELING ye... Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga. Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung. Kaunselor akan membantu klien untuk membuat penyesuaian dan keputusan yang berkesan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor juga bertindak sebagai fasilitator dalam menolong klien untuk memahami diri mereka dan dunia di sekeliling dengan lebih baik. Ini termasuk menolong mereka memahami perasaan, tingkahlaku, perhubungan dengan rakan-rakan, situasi tertentu, pilihan dan keputusan mereka. Penyelesaian atau keputusan penting dan relevan di dalam perbincangan antara kedua pihak seharusnya dapat membantu individu tersebut untuk membangunkan diri mereka, matang dalam membuat pilihan hidup dan akan lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang melibatkan hubungan dengan masyarakat, keluarga, pelajaran, pekerjaan serta diri sendiri. Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counselling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat. Berikut merupakan definisi kaunseling daripada pelbagai individu. Spora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman (2002) mendefinisikan kaunseling sebagai bantuan dalam menyelsesaikan masalah peribadi seseorang yang dilakukan oleh pembantu yang benar – benar berpengetahuan dan berkebolehan sehinggalah seseorang itu boleh membuat keputusannya sendiri dengan baik. Pepinsky (1954) menyatakan kaunseling adalah satu proses yang membabitkan interaksi antara seorang kaunselor dengan kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit dengan tujuan membantu klien mengubah tingkah lakunya sehinggalah resolusi yang diambilnya memuaskan kehendaknya.Beliau juga menekankan agar sesi kaunseling dijalankan dalam suasana tertutup, sulit tidak dilihat dan tidak didengari oleh orang lain. Dustin dan George (1977) pula mengatakan kaunseling ialah satu proses pembelajaran yang disediakan untuk meningkatkan tingkah laku penyesuaian dan mengurangkan tingkah laku salah penyesuaian. Menurut Blocher (1973), kaunseling adalah proses interaksi yang menggerakkan pemahaman yang bermakna terhadap diri dan persekitaran serta menghasilkan pembentukan dan penjelasan matlamat dan nilai untuk tingkah laku masa depan. Tang Chee Yee (1987) pula menyatakan kaunseling merupakan satu proses face to face contact di antara kaunselor dan klien. Tujuan pertemuan itu ialah untuk mencari alternatif yang paling sesuai untuk klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya di samping mengetahui buruk baik dan halangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu. Mizan Adilliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar (1995) merumuskan kaunseling sebagai proses pertolongan yang professional yang bertujuan membantu undividu memahami diri dan alam sekelilingnya. Arbuckle (1970) mentafsirkan kaunseling individu sebagai proses menolong individu melihat siapa dirinya yang sebenar, apa yang dimiliki dan apa pula yang tidak dimiliki serta apa yang boleh dan tidak boleh dicapainya. Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien. Kaunseling ialah suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien, yang baik dan menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat berlandaskan etika kaunseling Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna. Kaunseling adalah aktiviti beretika yang di lakukan dalam diri dengan jenis-jenis tingkah laku yang akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah klienKaunseling adalah suatu proses menolong individu yang mempunyai tekanan jiwa atau masalah sosial. Ia yang melibatkan hubungan yang unik, dan rahsia di antara dua pihak, di mana satu pihak berpengalaman dan terlatih yang digelar sebagai kaunselor, manakala pihak kedua pula memerluan bantuan, iaitu klien. Mngikut Gibson (1981) Kaunseling adalah hubungan tolong bantu yang berpusat kepada perkembangan, pertumbuhan individu, penyesuaian diri dan kehendaknya kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan untuk menjadi selesa kembali menemui kesejahteraan hidupnya yang lalu Definisi kaunseling : Hubungan profesional antara kaunselor dan klien untuk membantu klien memahami pandangan dan menjelaskan ruang hidupnya dan belajar mencapai matlamat dan mencuba beberapa pilihan melalui penyelesaian masalah emosi atau hubungan interpersonal. Kaunseling ialah proses bertemu muka secara perseorangan di antara kaunselor dan klien sebagai suatu proses kearah perkembangan dan pembinaan personality klien. Mengembalikan hati manusia kepada sifat asalnya (fitrah), tunduk kepada Allah. Suatu proses bantuan yang dijalankan oleh kaunselor bagi mengubah tingkah laku klien kepada yang lebih diterima. Kaunseling menghormati setiap individu itu unik Kaunselor bukanlah setakat untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah semata-mata Bukan proses menemuduga. Bukannya proses memilih kerjaya untuk klien. Bukannya proses mempengaruhi tingkah laku dengan cara memarahi,mengugut dan mendesak klien. Merupakan perkhidmatan profesional yang berdasarkan kefahaman mendalam mengenai manusia. Kaunseling ialah strategi menghalang bukan memulihkan. Kaunseling ialah satu profesion Kaunseling akan lebih berkesan jika datang dengan sukarela. Kaunseling menitikberatkan faktor kerahsiaan. Dalam proses kaunseling,membina hubungan yang baik di antara kaunselor dan klien adalah penting berdasarkan kepercayaan. Kaunseling bukan sahaja untuk orang yang mempunyai masalah Kaunseling ialah proses memberi pertolongan yang sistematik oleh seorang kaunselor yang menggunakan ilmu dan prinsip-prinsip psikologi kepada klien yang menghadapi kecelaruan perasaan dan fikiran supaya memahami dirinya membuat keputusan serta menyelesaikan masalahnya

Tentang Blog Sensasi

Saya suka menulis. Blog ini merupakan blog personal dan apa sahaja yang dituliskan di sini tiada kaitan dengan sesiapa samada secara langsung atau tidak. Elakkan kontroversi dan saya hanya mahu berblogging dan meluahkan isi hati dari sisi pandangan tersendiri. Moga kita saling menghormati dan menyayangi. Mesej keamanan dari Blog Effa Rina My Sensational Blog Zone.

This is a personal blog. The opinion expressed here represent my own and not those of the other persons.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP