Ganjaran yang diterima oleh seseorang Guru Cemerlang dilihat sangat menarik sehingga membolehkan kerajaan mengiktiraf taraf Guru Cemerlang sehingga ke tahap Gred Khas C seperti jawatan pengarah di bahagian lain. Ini diakui oleh Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Selangor (Gred Khas C) iaitu Zainal Sudin:
“...usaha dan perjuangan yang diberikan Guru Cemerlang perlu lebih tinggi berbanding guru lain. Jawatan Gred Khas C ini membolehkan guru menerima purata gaji kasar RM7,000 hingga RM12,747.94 sebulan berdasarkan tangga gaji tertentu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Keistimewaan ini sungguh ‘luar biasa’. Bayangkan hanya berada di sekolah, tetapi guru menikmati peluang sama kenaikan gaji pokok mencecah RM8,000 sebulan”.
(Berita Harian, 24 November 2009)
Melalui pandangan di atas, jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat berharap, melalui ganjaran yang diberikan kepada Guru Cemerlang, akan dapat meningkatkan komitmen mereka dalam menjana kecemerlangan pelajar selaras dengan nilai pendidikan dalam konsep 1Malaysia.
Ganjaran kerja merupakan satu faktor penting yang dapat mempengaruhi komitmen terhadap organisasi dalan kalangan pekerja Satu bentuk ganjaran kerja yang didakwa dapat meningkatkan komitmen terhadap organisasi pekerja ialah ganjaran kerja dalaman dan ganjaran kerja luaran. Ganjaran kerja ini bertujuan untuk mengubah, mencipta kepuasan dan memberi motivasi kepada pekerja untuk memberi komitmen yang paling optima kepada sesebuah organisasi. Ganjaran kerja memberi tumpuan kepada kepuasan pulangan serta keselesaan persekitaran kerja yang akhirnya membawa kepada peningkatan komitmen terhadap organisasi. Namun begitu tidak banyak penyelidikan yang dilakukan di Malaysia untuk menunjukkan kebenaran dakwaan tersebut (Maimunah, 2007).
Mengikut Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang (2007), Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.
Untuk menjadi seorang Guru Cemerlang, seseorang guru itu perlu memenuh syarat-syarat umum permohonan dan syarat-syarat khusus mengikut gred yang telah ditetapkan dalam Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang (2007). Syarat-syarat umum bagi semua gred mencakupi telah disahkan dalam jawatan, telah diluluskan pengisytiharan harta, lulus tapisan keutuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bersih daripada tindakan tata tertib, bersih daripada tindakan tatatertib, memperoleh Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) yang cemerlang bagi tiga tahun kebelakang, telah lulus Peperiksaan atau Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam gred sekarang (kecuali bagi Gred DG54 ke Gred Khas C).
Syarat-syarat khusus pula bergantung kepada Gred Guru Cemerlang tersebut. Antaranya :
1. Pengalaman mengajar tidak kurang dari 5-7 tahun di Gred DG sebelumnya (kecuali untuk DG 48 ke atas, pengalaman tidak kurang 3 tahun Gred sebelumnya)
2. Mata pelajaran yang dipohon merupakan mata pelajaran utama yang diajar oleh pemohon
3. Mengajar mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan yang dipohon selama 3 tahun terakhir berturut-turut
Tujuan mewujudkan perjawatan Guru Cemerlang ini pula adalah untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru yang istimewa, berdedikasi, bermotivasi, mahir, berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Oleh itu, melalui perjawatan ini akan dapat mengekalkan guru-guru ini mengajar di bilik darjah setelah dinaikkan pangkat tanpa perlu ditukarkan ke perjawatan pentadbiran supaya kepakaran dan kebolehan mereka dapat dimanfaatkan. Pada masa yang sama, kewujudan perjawatan ini juga dijadikan landasan untuk mengenalpasti dan memilih pegawai-pegawai yang berpotensi untuk memegang jawatan-jawatan tinggi di masa akan datang melalui sistem “fast track”.
Selain itu, dikatakan juga objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang adalah untuk memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P). Selain itu, Guru Cemerlang diharapkan akan menjadi role model kepada guru lain dan meningkatkan motivasi guru. Motivasi guru yang tinggi akan dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran Guru Cemerlang. Melalui skim ini akan dapat memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran dan menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan laju (fast track) Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga ke Gred Khas C
Coe et al. (2008) pula menyatakan bahawa komitmen bukan sahaja dilakukan secara penglibatan fizikal tetapi ianya merupakan satu proses yang panjang dan melibatkan keperluan emosi dan kewajipan.
Selamat mencanai minda...
Read more...