PEMINAT SETIA

Friday, January 29, 2010

Program Bersama Tokoh PMR 2009

"Bersama Tokoh PMR"..Ini merupakan program wajib Unit Bimbingan dan Kaunseling laksanakan saban tahun. Melalui program ini, semua Tokoh PMR iaitu pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang "straight A", akan dijemput sebagai ahli panel yang akan berkongsi rahsia kejayaan mereka. Semua tokoh telah dibahagikan tajuk-tajuk tertentu seperti pengurusan masa, pembentukan matlamat dan belajar secara berkumpulan.

Pelajar 3RK, 3AA, 3 Persona dan 3 Wira yang hadir

Barisan Tokoh PMR 2009

Amanat daripada Tuan Pengetua Cemerlang
Pn Hjh Noraini bt Hj Yeub Sidi
Aku sebagai pengerusi majlis

Tokoh PMR 2009
duduk sebaris dengan Tuan Pengetua & PK Pentadbiran
Senario dalam dewan sekolah

Nur 'Izzati sedang berkongsi rahsia kejayaan
Para pelajar 3RK, 3AA, 3 Persona dan 3 Wira
sedang melafazkan ikrar dan Aku Janji
untuk cemerlang dalam PMR 2010
Para pelajar yang begitu bersemangat
Tokoh PMR 2009
mengabdikan kenangan bersama-sama pentadbir
sebelum mereka ke Sekolah Berasarama Penuh pada 2 Feb 2010
Jamuan meraikan Tokoh PMR 2009 di kantin sekolah

Tokoh PMR 2009 bergambar kenangan bersama-sama
Pn Norahazana, Pn Noor Hayati, Pn Effa Rina & Pn Aslinda
Tahniah sekali lagi kepada semua Tokoh PMR 2009 iaitu :
1. Nur 'Izzati 8A
2. Noranasohah 8A
3. Nurul Amira 8A
4. Mohd Azri 8A
5. Mohd Anas Helmi 8A
6. Noor Hamizah 9A
7. Nur Hidayah 8A
8. Mursyidi 9A
9. Thurgaashini 8A
Apa yang kuperhatikan, tokoh-tokoh yang dijemput berasa sangat gembira dan rasa diri mereka dihargai. Penghargaan kendiri amat penting bagi seseorang itu. Sebagai seorang guru, kita perlu tahu bagaimana untuk menghargai pelajar. Bagi pandangan aku, bukan pelajar elit sahaja yang perlu dihargai, malahan semua pelajar perlu dihargai atas apa jua sumbangan yang mereka berikan, sama ada kepada guru atau sekolah.
Pelajar yang berasa dirinya dihargai, kebarangkalian untuk mereka melakukan salah laku disiplin adalah rendah. Usahlah kita melabel pelajar, hanya memberi layanan istimewa kepada pelajar-pelajar tertentu sahaja. Semua pelajar dahagakan kasih sayang dan pernghargaan gurunya. Walau ada guru yang mengatakan aku berpura-pura menyayangi pelajarku, aku tidak kisah. Hanya Allah yang tahu isi hatiku dan hanya pelajar-pelajarku yang dapat merasai denyut kasih sayang yang mengalir dalam diri mereka.













Read more...

Thursday, January 28, 2010

Hari Interaksi Kali Pertama 2010

Pada 23 Januari 2010, telah diadakan Hari Interaksi Kali Pertama. Ibu bapa dan penjaga telah dijemput untuk hadir bagi membincangkan hal akademik anak-anak mereka. Sambutan ibu bapa dan penjaga agak menggalakkan. Bagiku, Hari Interaksi amat penting untuk dihadiri oleh semua ibu bapa dan penjaga. Melalui perbincangan, pelbagai perihal anak-anak dapat dibincangkan. Amatlah malang, bagi ibu bapa dan penjaga yang hanya ambil mudah tentang kehadiran mereka.
Aku perhatikan, bagi kelas-kelas "elit" kehadiran ibu bapa dan penjaga amat baik berbanding kelas-kelas lain. Mengapa? Adakah ibu bapa dan penjaga berasa malu? tiada motivasi? tidak mahu ambil tahu? atau tidak meletakkan harapan langsung kepada anak sendiri?
Sesi pendaftaran
Suasana dalam bilik darjah ketika sesi perbincangan

Pn Aslinda sedang sibuk melayan para ibu bapa

Pn Norahazana sedang menjalankan sesi konsultasi keibubapaan

Backdrop Hari Interaksi


Aku menyeru kepada ibu bapa dan penjaga (termasuk diriku), rebutlah peluang untuk bertemu guru-guru kepada anak-anak kita, kerana tidak rugi mengenali mereka dengan lebih rapat demi kecemerlangan anak-anak kita jua



Read more...

Tuesday, January 26, 2010

Apa itu kaunseling?


Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.

Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memperihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan menguruskan masalah tadi. Proses aksi dan reaksi di antara klien dan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.

Kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu fokus mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna, dan melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emosional atau antara individu.

Krumboltz (George & Kristianni, 1990), pula mengatakan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh kaunseling dalam usaha membantu klien melibatkan diri dengan jenis-jenis tingkahlaku yang akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah klien.

Untuk pemahaman dengan lebih jelas lagi tentang definisi kunseling, dipetik tiga definisi yang telah dibuat oleh tiga tokoh iaitu Blocher (1974); Corey (1977) dan James (1982). Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah pada dirinya.

Akhir sekali James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu. Sebagai rumusan, kaunseling adalah proses pertolongan yang profesional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya.

Read more...

Sunday, January 24, 2010

Kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail


Al-Fatihah untuk Almarhum Sultanku, Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang telah mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 22 Januari 2010, 7.15 malam selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering



Aku sebagai rakyat Johor berasa sungguh dukacita dan semoga roh Baginda dicucuri rahmatNya. Aku kagumi ketegasan dan pendirian yang dimiliki Baginda sepanjang hayatnya. Semoga kerajaan Johor terus makmur. Walaupun aku telah berhijrah dari negeri tercintaku, Johor, namun semangat Johor tetap utuh dalam diriku. Aku tetap rindukan setiap angin yang berhembus, setiap tanah yang kupijak, malah setiap genap pandanganku dan semua kenangan pahit manis yang kutitip di Johor suatu ketika dahulu.



LAGU NEGERI JOHOR

Allah peliharakan Sultan
'Nugerahkan dia
Segala kehormatan
Sihat dan ria
Kekal dan makmur
Luaskan kuasa
Naungkan kami
Rakyat dipimpini
Berzaman lagi
Dengan merdeka bersatu hati
Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan

Al-Fatihah........








Read more...

Friday, January 22, 2010

Persediaan untuk menerima tetamu dari Thailand

Aku menerima SMS daripada Cikgu Faris untuk menghadiri mesyuarat pelarasan akhir sebelum Seminar Pengurusan Pendidikan Sempena Lawatan dari Universiti Vongchavalikul, Thailand yang akan diadakan pada 25 Januari 2010. Namun, semalam Profesor Madya Hamidah SMS dan meminta aku datang lebih awal iaitu pada jam 2 petang. Emmm....tugas berat rasanya kali ini. Aku akan berpasangan dengan Cikgu Sharifah dari SMKA Slim River. Orangnya dinamik, manis dan berkaliber.
Mesyuarat berjalan lancar. Dijangka seramai 39 orang pelajar phD yang akan datang. Urusetia dari UPSI adalah seramai 17 orang, terdiri daripada pelajar Master dan phD dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPE). Surat lantikan dan makluman sebagai urusetia telah diserahkan. Aku akan cuba melakukan yang terbaik. Sepanjang aku menjadi pengacara, ini adalah pengalaman baru yang pasti menyeronokkan.


Semoga semuanya berjalan lancar. Aku dan Cikgu Sharifah perlu berlatih menyebut nama-nama Thailand yang agak asing bagi kami. Namun, kami sukakan cabaran...InsyaAllah

Read more...

Thursday, January 21, 2010

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Kali ini, aku ingin berkongsi tentang ciri-ciri pelajar cemerlang. Bukan payah untuk menjadi cemerlang. Apabila kecemerlangan telah menjadi sebati dalam diri, maka semua tingkah laku kita akan menjurus ke arah kecemerlangan dan ianya akan menjadi budaya yang berkekalan.

1.Optimistik. Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

2. Jangan bersikap pesimistik. Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

3. Kesedaran memikul tanggungjawab. Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

4. Tumpuan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

5. Mulakan dari awal. Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa bersedia Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

7. Lengkapkan peralatan Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

8. Tepati waktu belajar Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

9. Dapatkann bantuan guru Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

10. Hormati guru Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

11. Bersoal jawab dengan guru Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.

12. Beri pandangan membina Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

13. Berbincang dengan rakan Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

14. Siapkan tugasan yang diberi Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

15. Tubuhkan kumpulan studi Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.
16. Sering masuk perpustakaan Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.

17. Baca akhbar Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.

18. Menonton rangcangan yang sesuai Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.

19. Lakukan peperiksaan kendiri Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.

20. Sediakan jadual waktu Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

21. Sertai ceramah motivasi Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

22. Sertai seminar peperiksaan Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.

23. Beli buku rujukan Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

24. Masuk kelas tuisyen. Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

25. Lawatan ke pameran buku Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)

26.Sertai kokurikulum sekolah Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.


27. Sanggup manghadapi cabaran. Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.

28. Jaga keselamatan diri. Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

29. Jaga kesihatan fizikal. Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

30. Makanan seimbang. Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.


31. Malu bertanya sesat jalan. Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.


32. Sembahyang. Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.


33. Doa Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
34. TawakkalPelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Semoga semua yang membaca akan memperoleh manfaatnya...

Read more...

Sunday, January 17, 2010

Terimalah tanpa syarat...

Aku ingin kongsikan erti persahabatan dan korelasinya dengan penerimaan tanpa syarat. Khas untuk semua yang bergelar sahabat dan sudah pasti memiliki sahabat.
Apabila kau ingin berteman,
Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan,
Kau mungkin akan menjauhinya...

Andai kau inginkan berteman,
Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan,
Kau akan membencinya...

Andai kau ingin sahabat yang satu,
Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu,
Kau mungkin akan memfitnahnya...

Andai kau ingin seseorang teman,
Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,
Kau mungkin akan menyalahkannya...

Andai kau ingin bersahabat,
Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat,
Yang hanya manusia biasa...
Janganlah diharapkan sempurna,
Kerana kau juga tidak sempurna...
Tiada yang biasa-biasa,
Menjadi satu yang sempurna...


Aku dan Kak fauziah

Aku bersama-sama AJK Majlis Guru Cemerlang Daerah

Aku, Kak Fauziah, En Arjimi dan Hj Hairudin
ketika membuat persembahan wakil Perak
di Mesyuarat Pengurusan Kaunseling Berfokus Kebangsaan
Tahun 2009
Bersama kawan-kawan di mesyuarat di KL

Sahabat rapatku di SMK Khir Johari, Tg Malim
Linda, Kak Ti dan Kak Hazana
Semoga menjadi pedoman kepada semua yang bergelar sahabat dan yang memiliki sahabat...





Read more...

Saturday, January 16, 2010

Mesyuarat Agong Kelab, Permainan & Rumah Sukan

Minggu ini, telah diadakan pendaftaran bagi badan beruniform, permainan, kelab dan persatuan peringkat sekolah. Aku merupakan Guru Penasihat bagi Kelab Ping Pong, Rumah Muzaffar, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Ketua Guru Penasihat Kelab Bimbingan dan Kaunseling. Sebagai Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling, aku juga perlu terlibat dengan aktiviti kokurikulum. Oleh itu, kepada semua GBK novis, aku ingin memberi pandangan, agar apabila diberi apa juga tugasan di awal perkhidmatan, terimalah dengan hati yang terbuka. JANGAN ADA RASA DIRI ANDA DIBULI, MALAHAN RASAKAN DIRI ANDA DIBERI PELUANG UNTUK MENIMBA PENGALAMAN.

Kemudian, setelah beberapa tahun menjadi GBK, barulah anda menjadi lebih selektif bagi memastikan kerja utama kita iaitu sebagai GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA tidak terabai. Ini kerana, tidak semua orang faham dan mahu memahami tugas sebenar GBK. Apabila GBK tidak diberikan jadual waktu mengajar, maka pelbagai tugas yang langsung tidak relevan dengan tugas, seringkali dilonggokkan kepada kita. Oleh itu, GBK harus sentiasa menunjukkan kecemerlangan dalam setiap pekerjaan yang diamanahkan serta menjadi seseorang yang berbeza dalam mencipta kegemilangan diri dan pelajar.
Bagi aku yang sudah 10 tahun menjadi GBK, aku tidak peduli tentang apa komen yang tidak membina terhadap program yang aku lakukan. Aku hanya akan mendengar komen bernas dan ikhlas daripada pentadbir dan teman-teman sejawatku yang mahu melihat aku lebih berjaya. Jika terlalu ingin memuaskan hati semua orang, kita akan menjadi tidak krearif, terus statik, terlalu mengekalkan budaya lama, takut kepada transformasi dan terus mundur.

Aku, Pn Farah Husa dan Pn Yeam Koon Peng, Guru Penasihat Kelab Ping Pong

Pn Yeam sedang menandatangani Buku Kokurikulum pelajar

Aku memerhatikan pelajar yang sedang menjalankan
sesi Mesyuarat Agong 2010

Pn Yeam Koon Peng selaku Ketua Penasihat
Kelab Ping Pong sekolah

Girang...... setiap pelajar diberi sample OXY 10 sebagai tanda kenangan. Semoga aktiviti yang dirancang pada tahun ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Setiausaha yang bersemangat.....Nor Afidah
Antara aktiviti yang dirancang ialah Jualan Hari Koperasi, Lawatan ke Rumah Orang Tua, Kerja Amal di Klinik Kesihatan Tg. Malim dan Jamuan Akhir Tahun di Kalumpang. Yuran yang dipersetujui ialah RM2 sebulan. Biasanya jika ada wang lebih pada akhir tahun, pasti akan kami pulangkan.

Pencalonan.....Sokongan....Tiada Bantahan....

Pada awal sesi pertemuan tadi, kami adakan ice breaking ringkas untuk menjadi lebih rappo sesama ahli kelab. Masing-masing memberi cadangan dan sokongan terhadap calon jawatankuasa tertinggi. Kami juga memberi penerangan tentang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang akan digerakkan tahun ini menjadi lebih dinamik

Antara para pelajar yang hadir
sebagai ahli Kelab Bimbingan dan Kaunseling
Semoga, tahun ini akan menjanjikan kecemerlangan bagiku, bukan sahaja dalam urusan peribadi, malahan dalam kerjayaku. InsyaAllah

Read more...

Friday, January 8, 2010

Minggu Orientasi Pelajar Tingkatan 4

Hari ini merupakan hari terakhir Minggu Orientasi Pelajar-pelajar Tingkatan 4 di sekolahku. Bermula pada hari pertama persekolahan 4 Januari sehingga 8 Januari 2010. Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan dengan lancar. Antaranya :
1. Taklimat Khas Pengetua, Kurikulum, HEM dan Kokurikulum oleh pentadbir
2. Rumah Sukan oleh En Megat
3. Biasiswa dan Pusat Sumber Sekolah oleh Pn Halijah dan Pn Hana Zafinaz
4. Ceramah ”Remaja dan Cinta ” oleh Pn Effa Rina
5. Ceramah Motivasi Belajar oleh Pn Noor Hayati
6. Pentadbiran SDS oleh Pn Norahazana
7. Ceramah Sekolah Selamat oleh Pn Hjh Sharifah
8. Disiplin ketika Pendidikan Jasmani oleh Pn Aslinda
9. Nyanyian lagu oleh Pn Yeam
10. Penerangan pakej mata pelajaran oleh semua guru tingkatan 4
Para pelajar sedang mengira kod tiga mata Holland
untuk mengetahui personaliti kerjaya mereka
Aku sedang membantu para pelajar
tentang pemilihan pakej mata pelajaran

Dua orang pelajar India
excited sangat nak bergambar dengan aku. hehe

Back drop program

Puteri-puteriku bangga dan ceria
dengan sample tajaan OXY 10
Kek harijadi salah seorang pelajarku
Shafikah..anak Abuya...Happy Birthday dear

Aku bersama-sama Pn Noor Hayati
Pamplet Minggu Orientasi
Barangan sampel OXY 10...Terima kasih OXY 10
Aku sedang menyampaikan ceramah
"Remaja dan Cinta"
Para pelajar sedang khusyuk mendengar taklimat

Cik Hjh. Maznah, PK Pentadbiran
sedang menyampaikan taklimat kurikulum
En Sofuan, PKHEM
menyampaikan taklimat disiplin

Aku bersama Tuan Pengetua Cemerlang
Pn Hjh. Noraini bt Hj. Yeub Sidi

Amanat Bonda Pengetua
Syukurlah, program pertamaku berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak. Para pelajar pun sudah memperoleh buku teks dan masuk ke kelas masing-masing. Selamat belajar putera-puteriku tersayang







Read more...

Tentang Blog Sensasi

Saya suka menulis. Blog ini merupakan blog personal dan apa sahaja yang dituliskan di sini tiada kaitan dengan sesiapa samada secara langsung atau tidak. Elakkan kontroversi dan saya hanya mahu berblogging dan meluahkan isi hati dari sisi pandangan tersendiri. Moga kita saling menghormati dan menyayangi. Mesej keamanan dari Blog Effa Rina My Sensational Blog Zone.

This is a personal blog. The opinion expressed here represent my own and not those of the other persons.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP