PEMINAT SETIA

Sunday, February 28, 2010

Tangisan dan kehidupan manusia

Ketika kanak-kanak,
menangis ku kerana haus dan lapar..
menangis ku kerana inginkan belaian hangat ibu di tubuhku,
menangis ku kerana inginkan barang permainan,
menangis ku kerana inginkan perhatian dari ayah dan ibu setiap masa.

Ketika usiaku menjangkau awal remaja,
menangis ku kerana rakan-rakanku,
menangis ku kerana gelojak rasa sayang terhadap kaum yang bertentangan dengan jantinaku,
menangis ku kerana aku gagal dalam bercinta,
menangis ku kerana aku gagal atau cemerlang dalam peperiksaan,
menangis ku juga kerana ada ketika aku berjaya menarik perhatian gadis dan jejaka,
menangis ku kerana kesepian tanpa rasa rindu dan cinta pada hamba ciptaanNya.

Ketika usiaku menginjak dewasa,
aku mungkin menangis kerana susahnya menempuh alam pekerjaan,menuntut seluruh kosentrasiku, memerah keringatku,
menangis aku kerana anak-anak ku,
menangis ku kerana isteri atau suamiku,
menangis aku kerana tidak punya kereta besar atau rumah yang sempurna,
menangis ku kerana tidak mampu memberi kesenangan harta benda kepada keluargaku.

Ketika usiaku berada di penghujung..
aku menangis kerana gagal memberi kesenangan kepada keluargaku,
menangis aku kerana kesihatanku yang sudah mula merosot,
menangis aku kerana anak-anakku pergi meninggalkan aku berkhidmat utk keluarganya,
menangis aku kerana jarum silih berganti menusuk kulitku,
menangis aku kerana aku bakal meninggalkan dunia,sedangkan aku masih belum MENANGIS KERANA AKU LALAI PADA PERINTAHNYA! !

mungkin kita tergolong dalam salah satu rentetan usia tersebut.. kita sentiasa menangis untuk perkara2 remeh meliputi hal2 duniawi..tapi kita selalu alpa untuk menangis atas kejahilan kita mengenal YANG MAHA ESA,kita sibuk mengumpul ilmu serta harta dunia,sehingga kita lupa untuk menangis atas kurangnya harta serta saham untuk alam abadi kelak,kita menangis kerana hilangnya cinta pada kekasih,isteri atau suami serta anak-anak, tetapi kita alpa untuk menangis atas KEHILANGAN NIKMAT IMAN SERTA KASIH ALLAH KEPADA KITA.Kita menangis kerana kecacatan fizikal yang diberi Ilahi,namun kita gagal untuk menangis tanda syukur atas nikmat lain yang diberi tanpa meminta secebis balasan sekalipun..

renung-renungkanlah ..saya mengingatkan diri saya yang selalu lupa untuk MENANGIS keranaNya..sebagai panduan kita bersama..

Sumber : Majlis Guru Cemerlang Perak

Read more...

Saturday, February 27, 2010

Minggu Lalu Yang Sibuk...

Para pengawas sedang mendengar ceramah kepimpinan
Aku menyampaikan ceramah
"Pengendalian Majlis Rasmi Oleh Pengawas"
Buku yang berjaya aku temui di perpustakaan UPSI
berkaitan dengan kertas projek Masterku


Kaunter Kerjaya untuk pelajar yang mengambil keputusan STPM
sesi konsultasi kerjaya telah dikendalikan oleh GBK


Rekod peminjaman peribadi
11 buah buku yang aku pinjam sekaligus

Pamplet dan cenderamata pelajar
Seminar Kepimpinan Pengawas Sekolah

Aku rasa minggu lepas merupakan minggu yang sangat padat bagiku. Hinggakan aku tidak sempat untuk menulis. Namun, aku berpegang kepada pepatah "Better Late Than Never". Bermula dengan Isnin, aku menjadi pengacara majlis untuk Program NILAM sekolah dan pengacara "Bidan Terjun" untuk watikah pelantikan pengawas. Selasa, aku "menyerang" Perpustakaan UPSI, meminjam buku dan "bertapa" di bilik karel. Rabu, melaksanakan Seminar Kepimpinan Pengawas dan Khamis, melaksanakan Program Kaunter Kerjaya untuk lepasan STPM dan Jamuan Perpisahan Guru....Sungguh mencabar tapi penuh dengan keterujaan.
Mujur, kebetulan, mak abah dan adikku datang melawat kami sekeluarga. Terasa ringan kerja dan bersemangat. Itulah aura ibu bapa dan keluarga kepada kejayaan kita

Read more...

"Coaching A New GC" - Satu Perkongsian Pengalaman Berpraktikal


KENANGAN AKU KETIKA BERPRAKTIKAL
SENTIASA KEMAS DAN BERGAYA...HEHE

Atas permintaan seorang mahasiswi UPSI yang akan berpraktikal, di sini aku kongsikan pengalaman aku ketika berpraktikal di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban pada 1.3.1999 hinga 24 Mei 1999. Terima kasih yang tidak terhingga kepada En Anuar dan Dr Ahmad Jazimin yang menjadi guru pembimbingku tika itu.
Bagi pandangan aku, pelajar UPSI harus dan boleh melakukan yang terbaik kerana mereka hanya menumpukan kepada bidang major sahaja iaitu Kaunseling. Berbeza dengan aku, pelajar UPM, yang perlu menjalankan latihan mengajar Bahasa Melayu dan pada masa yang sama melaksanakan praktikal Kaunseling. Pendek kata mengajar dan menjalankan sesi serta program kaunseling. Aku akan kongsikan secara ringkas sahaja dan jika ada yang inginkan penjelasan, bolehlah menghubungi aku. Aku juga gabungkan pengalaman aku berpraktikal dan pengalaman menjadi Guru Pembimbing (apa yang tidak disukai)
Petua 1 : Persediaan jasmani
1. Sentiasa berpakaian kemas. Sebagai GBK, kita perlu sentiasa menarik dan berkeyakinan. Tidak perlu baju yang mahal, yang penting penampilan yang sesuai
2. Jaga kesihatan. Jangan sengaja mengambil cuti (mc) ketika berpraktikal.

Petua 2 : Persediaan Emosi
1. Jangan rasa terlalu takut atau terlalu berani. Kawal emosi. Yakin pada diri.
2. Apabila diarah untuk melakukan sesuatu oleh Guru Pembimbing dan pihak sekolah, jangan melawan dan jangan rasa diri dibuli. Kena rasa bangga diri diberi kepercayaan untuk melakukan sesuatu.
3. Kawal emosi dengan pelajar dan guru. Jangan bergaduh, memarahi pelajar (apatah lagi melempang pelajar) atau jatuh cinta dengan pelajar atau guru.

Petua 3 : Persediaan Rohani
1. Mohon agar Allah mudahkan urusan praktikal
2. Banyakkan solat sunat dan mohon pertolongan

Petua 4 : Persediaan Intelek
1. Dapatkan semua bahan yang berkaitan
2. Lakukan perkogsian pintar dengan rakan berpraktikal dari sekolah lain. Usah bergaduh dengan pasangan praktikal anda. Anda seharusnya saling lengkap-melengkapi.
3. Jangan tunjuk pandai dengan Guru Pembimbing. Bagi idea dengan cara yang berhemah
4. Kreatif. Buat sesuatu yang berbeza. Contoh : Buletin Pelajar Praktikal

Petua 5 : Persediaan sosial
1. Pandai menyesuaikan diri di sekolah. Usah jadi kera sumbang. Ingat, anda akan posting kelak, belajarlah bersosial. Memberi salam, menegur dan beramah mesra dengan guru sekolah, tapi janganlah pula terlebih ramah. Bersederhanalah

Petua am :
1. Apabila pelajar datang untuk membuat temujanji, pastikan semua borang yang berkaitan telah diisi. (Elak pelajar ponteng kelas)
2. Kena ambil seberapa banyak peluang untuk belajar. Jangan malu bertanya.
3. Bereskan latihan ilmiah anda, agar tidak menggangu tumpuan pada praktikal
4.Sentiasa berhubung dengan penyelia. Guru Pembimbing hanya membimbing. Penyelia lebih berkuasa terhadap markah praktikal anda. Usah senyap dan buat tidak ambil peduli dengan Penyelia
5. Jangan curi tulang dalam kiraan jam kredit anda menjalankan sesi. Allah Maha Melihat
6. Libatkan diri dalam semua acara sekolah, jika diperlukan seperti Hari Sukan.
7. Jangan berkira tentang duit, tenaga dan masa. Ini sangat penting. Kalau nak pandai, tolonglah jangan berkira dan sentiasa mengharapkan balasan.
8. Tunjukkan anda seorang yang menyenangkan. Anda membawa imej universiti. Usah buat perangai yang memalukan universiti dan pensyarah yang mendidik anda.
9. Ringan tulang membantu Guru Pembimbing melaksanakan program.
10. Sentiasa kreatif. Bagi saya, menjadi GBK perlu kreatif
11. Rakamkan aktiviti dan penglibatan (dokumentasi sangat penting)
12. Jangan tidak hantar Buku Rekod (Latihan Praktikal) kepada sekolah setiap minggu
13. Jaga etika kerahsiaan pelajar. Jika tidak pasti, rujuk Guru Pembimbing.

Read more...

Friday, February 19, 2010

Permohonan Kursus Perguruan Lepas SPM KPLSPM Ambilan Jun 2010

Salam sayang untuk semua pelajarku yang bakal memperoleh keputusan SPM 2009. Di sini Mummy paparkan makluman penting untuk yang berminat menjadi guru

Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti program yang ditawarkan dalam Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) Ambilan Jun 2010.

Pelajar lepasan SPM yang berminat untuk menjadi guru boleh memohon secara atas talian untuk mengikuti KPLSPM. Pemohon yang berjaya melalui syarat-syarat awal kursus akan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Program ini merangkumi kursus persediaan selama satu tahun enam bulan dan latihan perguruan selama empat tahun. Pada akhir pengajian, pelatih yang berjaya akan dianugerahkan Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian dalam bidang yang dipilih.

PROGRAM LATIHAN
· Kementerian Pelajaran hanya menawarakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi KPLSPM Ambilan Jun 2010 ini.

· Program ini dikhususkan untuk melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang bagi keperluan di sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

· Sebagai prasyarat, calon dikehendaki mengikuti dan lulus Kursus Persediaan selama satu tahun enam bulan di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ditawarkan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan selama empat tahun di Institut Pendidikan Guru untuk Pendidikan Rendah.

SYARAT ASAS
1. Warganegara Malaysia.
2. Umur tidak melebihi 20 tahun pada 28 Jun 2010 iaitu lahir pada atau selepas 28 Jun 1990.
3. Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.
4. Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.
5. Mempunyai kelayakan akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat cemerlang dalam mana-mana tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran berikut:
· Bahasa Melayu
· Sejarah
· Satu mata pelajaran yang lain serta;
· Lulus Bahasa Inggeris
6. Memenuhi syarat dan kelayakan khusus bidang pengajian yang dipohon.

UJIAN INSAK
· Calon yang dipanggil temu duga dikehendaki menduduki ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) semasa menghadiri temu duga.
· Pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan adalah bergantung kepada kedudukan pencapaian merit skor akademik, prestasi dan temu duga dan keputusan ujian INSAK.
· Keputusan oleh Jawatankuasa Pemilihan adalah muktamad.

CARA MEMOHON
· Permohonan untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) Ambilan Jun 2010 hanya boleh dibuat secara atas talian (online) melalui laman web Perkhidmatan Aplikasi Dalam Talian Kementerian Pelajaran Malaysia atau terus sahaja ke portal Permohonan Dalam Talian KPLSPM Ambilan Jun 2010.

· Permohonan ini hanya boleh dibuat dengan menggunakan nombor pengenalan individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Malaysia dengan bayaran sebanyak RM 6.00. Calon atau wakilnya hendaklah membawa bersama kad pengenalan atau salinan kad pengenalan calon untuk membeli nombor pin tersebut.

· Calon dibenarkan mengemukakan hanya satu permohonan sahaja.

· Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.

· Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.

· Calon dinasihatkan menyemak status permohonan mereka dari semasa ke semasa untuk status panggilan temu duga dan juga tawaran ke IPG yang ditetapkan.

· Tiada surat menyurat dikeluarkan untuk panggilan temu duga.

· Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya akan diserahkan di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia setelah calon melapor diri di IPG.

TARIKH-TARIKH PENTING

8 Februari - Permohonan dibuka

28 Mac - Permohonan ditutup

20 April - Semakan temu duga

25 April hingga 7 Mei - Temu duga

14 Jun - Keputusan Permohonan

28 Jun - Pendaftaran

Tarikh tersebut di atas adalah sebagai panduan sahaja dan tertakluk kepada perubahan.

PENDAFTARAN
· Calon-calon yang ditawarkan untuk mengikuti Kursus Persediaan akan mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) pada 28 Jun 2010 (tarikh tertakluk kepada pindaan).

· Calon yang telah ditemu duga dan tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu bulan selepas tarikh pendaftaran adalah dianggap tidak berjaya.

· Bahagian Pendidikan Guru tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon.

IKATAN PERJANJIAN
Calon yang ditawarkan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan termasuk di kawasan pedalaman seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus.

MAKLUMAT
· Maklumat di sini hanya ringkasan sahaja, sila rujuk laman web Permohonan Dalam Talian KPLSPM Ambilan Jun 2010 untuk mendapatkan maklumat terperinci.
· Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan KPLSPM ini, sila hubungi:

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA ARAS 3,
BLOK E13, PARCEL E
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(u.p : Unit Pengambilan dan Penempatan Pelajar)
Telefon : 03 8884 1260/ 1245/ 1243/ 1235/ 1229/ 1228

URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sabahd/a Institut Pendidikan Guru
Kampus Gaya
Peti Surat 10491
88805 Kota Kinabalu,Sabah
Telefon : 088 236804

URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU Cawangan Sarawak Jalan College
93259 Kuching,Sarawak
Telefon : 082 258045

Read more...

Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009

Modal Insan berkualiti merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha-usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.
Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif.

Sehubungan itu, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di peringkat Ijazah Pertama. Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2010 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.

Program Biasiswa Lepasan SPM
Program Penajaan JPA 2010 terdiri daripada:
1. Program Biasiswa Nasional
2. Program Ijazah Luar Negara – PILN
3. Program Ijazah Dalam Negara – PIDN

1. Program Biasiswa Nasional

Dalam pembentangan Bajet 2010 pada 30 Oktober 2009, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penganugerahan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun 2010.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional ini. Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terkemuka di dalam ataupun luar negara dalam pelbagai bidang pengajian mengikut minat dan pilihan pelajar.

Maklumat dan Syarat Asas
Maklumat dan syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah seperti berikut:
• Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran (Pencalonan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia);
• Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
• Calon perlu melalui proses temuduga; dan
• Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

Kriteria
Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:
• Pencapaian akademik; dan
• Prestasi temuduga.

2. Program Ijazah Luar Negara (PILN)
Program Ijazah Luar Negara (PILN) merupakan program penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti program Ijazah Pertama di universiti luar negara.

Maklumat dan Syarat Asas
Maklumat dan syarat asas untuk PILN adalah seperti berikut:
• Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang;
• Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
• Calon perlu melalui proses temu duga; dan
• Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

Kriteria
Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:
• Pencapaian akademik;
• Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum;
• Prestasi temu duga; dan
• Sosio-ekonomi/latar belakang keluarga.
Penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.

PILN 2010 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2009 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2009, seramai 455,317 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 442,936 orang pada tahun 2008. Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif.
Pada tahun 2009, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,084 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,469 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua mata pelajaran SPM tahun 2008.
Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

3. Program Ijazah Dalam Negara (PIDN)
Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih, disebabkan persaingan yang sengit di bawah program PILN, akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti pengajian di dalam negara sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu;
1. Universiti Sains Malaysia (USM),
2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
3. Universiti Putera Malaysia (UPM) dan
4. Universiti Malaya (UM),
atau IPT tempatan yang lain.

Di samping itu termasuk juga kampus-kampus cawangan universiti luar negara seperti;
1. University of Nottingham,
2. Monash University,
3. Swinburne University of Technology dan
4. Curtin University of Technology
Tersenarai juga IPTS tempatan yang lain seperti;
1. Universiti Teknologi Petronas (UTP),
2. Universiti Multimedia Malaysia (MMU),
3. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),
4. AIMST University,
5. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya
6. University College of Medical Sciences (CUCMS),
7. Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan
8. University College Sedaya International (UCSI).

Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.
Selain itu program penajaan dalam negara (PIDN) turut menawarkan biasiswa diperingkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Tulen & Gunaan, Pengurusan dan Sastera di IPTA dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Proses Pemilihan
Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:
• Kriteria pemilihan – peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred A bagi sembilan mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;

• Kursus/bidang – selain perubatan, terdapat bidang kritikal lain yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Sains dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;

• Pilihan kursus – calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;

• Negara – penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan seperti mana mereka yang bergraduat daripada Ireland, United Kingdom atau Australia.

Peruntukan kewangan dan tempat pengajian ke luar negara terutama bagi kursus-kursus kritikal (perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar) adalah terhad namun permohonan yang diterima adalah tinggi dan ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di kalangan pemohon.

Contohnya pada tahun 2009, sebanyak 5,181 permohonan telah diterima bagi mengikuti kursus kritikal, namun peruntukan tempat yang disediakan hanyalah sebanyak 772 sahaja. Ini menunjukkan hanya seorang calon akan terpilih daripada setiap enam permohonan.

Kaedah Permohonan
Iklan tawaran dan maklumat lanjut akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa pada bulan Mac 2010. Calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2010 yang akan mula dibuka secara atas talian (on-line) mulai tarikh keputusan SPM 2009 diumumkan secara rasmi.

Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara-negara berkenaan.

Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada bulan Mac 2010 di hospital-hospital Kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.

Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan dijalankan pada bulan April 2010. Urusan temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut dua kelompok utama bidang pengajian iaitu kritikal dan strategik.
Ahli-ahli panel bagi bidang kritikal terdiri daripada pegawai perubatan/pergigian/ farmasi dan perubatan veterinar manakala ahli-ahli panel bagi bidang strategik terdiri daripada pensyarah, jurutera dan pegawai kanan dari pelbagai skim perkhidmatan.

Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, mencapai rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan penajaan ke universiti-universiti di luar negara.

Kesimpulan
Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa Kerajaan yang diuruskan oleh JPA.

Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon-calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa mereka tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, PILN 2010 dijangka akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan berusaha juga untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain.

Maklumat
Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa Kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-8885 3412 (lima talian) mulai 10 Mac 2010 atau hadir sendiri di kaunter-kaunter

Bahagian Pembangunan Modal Insan,
JPA di Lobi, Blok C1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya,
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya 3

mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Februari 2010

Sumber : Siaran Akhbar Jabatan Perkhidmatan Awam

Read more...

Keputusan STPM 2009

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh itu.Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. - Bernama

Read more...

Saturday, February 13, 2010

Kajian Rintis di Teluk Intan

Pada 11 Februari 2010, aku telah mengambil Cuti Rehat Khas untuk menjalankan Kajian Rintis di Teluk Intan. Aku telah pergi ke beberapa buah sekolah untuk bertemu dengan responden. Terima kasih untuk suamiku yang banyak menyokong perjuangan ini.
Di Bilik Kaunseling SMK Seri Perak
Terima Kasih kepada Kak Noraini Hasbullah yang sangat menyokong
Beg "James Bond" aku
Aku sangat terharu dengan pengorbanan Kak Gee kerana turut mengambil cuti untuk menemani aku, di samping kami merancang untuk mengadakan perbincangan profesional berkaitan bidang Guru Cemerlang kami. Inilah dinamakan sahabat, sanggup susah dan senang bersama-sama. Terima kasih kandaku. Selamat datang ke dunia Sarjana kelak.
Soal Selidik Kajian Rintis
Terima kasih juga untuk mak abah dan adik yang banyak mendoakanku, juga untuk penyeliaku Dr Marinah Awang yang sangat menyokongku. Ini baru permulaan, SPSS akan menyusul. Surat kelulusan EPRD dalam proses, seterusnya perjuangan akan bermula deras.

Read more...

Pengalaman Paling Berharga Sebagai Pengacara

Aku telah berpengalaman menjadi pengacara lebih kurang 15 tahun. Sejak di bangku sekolah lagi, aku telah ajar oleh guruku untuk menjadi pengacara yang baik. Apabila aku bekerja, aku mula belajar daripada guru-guru senior dan aku belajar daripada pengalaman. Aku pernah menjadi pengacara dalam pelbagai jenis majlis. Tidak kiralah Hari Sukan, Pertandingan, Majlis rasmi dan tidak rasmi, Majlis PDRM dan banyak lagi, yang turut dihadiri oleh ramai VIP. Namun, untuk majlis pada kali ini, aku menimba banyak pengalaman baru kerana aku perlu mengendalikan dalam Bahasa Inggeris dan didatangi oleh para deligasi seramai 39 orang dari Vongchavalikul University Thailand. Mereka merupakan pensyarah dan pelajar phD di sana.

Seminar "Best Practices In Educational Management " ini merupakan program UPSI. Aku sebagai pelajar Master semester 4 telah dipilih sebagai AJK. Tugas yang aku pikul adalah sebagai pengacara bersama-sama Pn Sharifah. Seminar ini telah berlangsung pada 25 Januari 2010 yang lalu.
Cenderamata daripada pihak Vongchavalikul University Thailand
Berat....Diperbuat daripada emas kot!....

Sesi bergambar kenangan setelah selesai
acara pembentangan kertas kerja
daripada wakil UPSI dan Vongchavalikul University Thailand

Kami bergambar kenangan di hadapan Perpustakaan UPSI setelah
tamat sesi lawatan dalam perpustakaan

Sebahagian warga kerja yang telah bertungkus lumus
menjayakan program bersama-sama kami
Dr Khuan Wai Bing dan Prof. Madya Dr Hamidah




Read more...

Aktiviti-aktiviti yang telah berlalu....

MOTIVASI KECEMERLANGAN ASRAMA
"MENUJU PUNCAK"
5-7 FEB 2010
Program ini merupakan kerjasama antara Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan pelajar semester 2 B&K UPSI. Sebenarnya, aku menunggu pelajar UPSI menghantar gambar kepada aku untuk dimuatkan dalam blog untuk dikongsikan. Namun sampai hari ini, belum sampai ke tangan aku. Jadi, aku hanya boleh paparkan pamplet sahaja. Pengisian program adalah berdasarkan modul yang disusun oleh pensyarah mereka. Banyak juga bimbingan yang telah aku berikan kepada pelajar UPSI, walaupun ada yang mengatakan aku cerewet dan tegas, namun niat aku hanya untuk melihat mereka menganjurkan sebuah seminar yang terbaik bukan sekadar hanya untuk melengkapkan kursus universiti


LATIHAN KEBAKARAN (SEKOLAH SELAMAT)

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Tg Malim telah datang ke sekolah untuk menunjukkan kaedah memadam kebakaran. Kelihatan Tn Pengetua baru sahaja selesai melakukan demo memadam kebakaran menggunakan BCF.
Pn Nor Saedah sedang mencuba memadamkan api kecil sebagai salah satu latihan. Program ini merupakan salah satu elemen dalam Sekolah Selamat. Warga sekolah perlu turun dan berkumpul di padang atau kawasan lapang dalam masa kurang 3 minit. Jika tidak, ia dikira gagal. Loceng yang panjang akan dibunyikan 3 kali sebagai tanda semua warga sekolah perlu bergegas turun. Tika ini, aku teringat abah ketika menjadi PEGAWAI BOMBA. Inilah salah satu tugas abah.

MINGGU ORIENTASI KELAS RANCANGAN KHAS
Aku ketika menyampaikan ceramah tentang "Hala Tuju Pelajar KRK". Tahun ini aku bukan lagi Penyelaras KRK sekolah. Namun, aku terlibat juga untuk membantu Penyelaras yang baru. Seramai 33 orang pelajar yang telah datang mendaftar
Sebahagian para pelajar perempuan 1 RK ketika sesi taklimat bilik Audio Video. Selamat datang anak-anak mummy, semoga terus mencipta kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Anak-anak lelaki 1RK bersama-sama En Zubir untuk aktiviti Jelajah SMKKJ. Kelihatan mereka sungguh ceria. Maklumlah dah jadi pelajar sekolah menengah. Lebih-lebih lagi menjadi pelajar KRK, idaman semua pelajar tingkatan 1.









Read more...

Wednesday, February 10, 2010

Lokus Kawalan Dalaman Diri

Manusia terdiri daripada pelbagai personaliti. Itulah yang dinamakan manusia itu unik. Terdapat manusia yang kita lihat, sangat sibuk tetapi masih dapat mengawal emosinya. Mereka masih tenang, boleh tersenyum dan tidak marah-marah. Namun, ada juga yang tidak dapat mengawal emosinya, maka akan ada yang menjadi seorang yang pemarah dan panas baran, semua orang salah dan hanya mereka sahaja yang betul.
Senario di atas menunjukkan sejauhmana, seseorang itu dapat mengawal dirinya. Lokus Kawalan Dalaman Diri atau Out Of Locus Control sering dikaitkan dengan bagaimana kita dapat menggambarkan diri sendiri atau mengawal kestabilan emosi sendiri
Bagi aku, tiada siapa yang dapat membuatkan kita berasa gembira, kecuali kita mencipta suasana gembira dalam diri. Usah diharap. orang akan menggembirakan kita. Lagi parah, kalau kita membenarkan perasaan sedih menyelubungi diri jika, hanya kerana contohnya, rakan baik kita tidak melayan kita, tidak mesra seperti selalu atau merajuk tak tentu pasal. Jangan hanya kita sahaja menjaga hati orang lain, hati kita ada mereka kisah?
Kalau ada rakan yang memarahi kita, jangan benarkan diri kita dimarahi dan kita pasif begitu sahaja..."Biarlah...aku sedar diri ini.." Aku tak suka gaduh dan bising-bising...biarlah aku beralah". Maaflah. Sekarang bukan masa untuk kita selalu ditindas. Jika kita benar, bersuaralah dengan cara yang profesional dan bukan emosional.
Gembirakan diri kita dengan kerjaya, keluarga, melakukan apa yang kita suka, makan makanan yang paling kita gemari, berbual dengan rakan yang memahami, menatap foto saat riang, pergi membeli belah (beli 3 barang...walaupun hanya sebiji gula-gula)...
Apa yang penting, kita gembira dan tidak stress dengan memikirkan kerja dan manusia yang menyusahkan otak kita.

Read more...

Manusia itu unik

Manusia hari ini suka bersangka-sangka

Ada sangkaan BAIK …Ada sangkaan BURUK …
Orang BERIBADAH disangka RIAK
Orang yang BERKERETA BARU disangka MENUNJUK-NUNJUK
Orang yang BERKERETA BURUK disangka ZUHUD (HINA)
Orang MAKAN BANYAK disangka PELAHAP
Orang MAKAN SIKIT disangka DIET
Orang BAIK disangka BURUK
Orang BURUK disangka BAIK
Orang SENYUM disangka MENGEJEK
Orang BERMUZAKARAH disangka MENGUMPAT
Orang DIAM disangka MENYENDIRI
Orang NAMPAK CERIA disangka PAKAI SUSUK
Orang SELALU BERJUMPA BOS disangka MENGADU
Orang RAJIN BEKERJA disangka MEMBODEK BOS
Orang DAPAT ANUGERAH disangka PASTI BERLAGAK
Orang CANTIK BERGAYA disangka PERASAN

Mana tahu yang DIAM itu kerana BERZIKIR kepada Allah.
Mana tahu yang SENYUM itu kerana BERSEDEKAH.
Mana tahu yang MASAM itu kerana mengenangkan DOSA.
Mana tahu yang MENAWAN itu kerana BERSIH HATI dan MINDANYA
Mana tahu yang CERIA itu kerana CERGAS CERDASNYA
Mana tahu yang CANTIK itu kerana BERHIAS UNTUK SUAMINYA
Mana tahu yang DAPAT ANUGERAH itu kerana BERKAT TAATNYA KEPADA IBU BAPA

JAUHI SIKAP SUKA BERSANGKA-SANGKA
KERANA IA BAKAL MEMUSNAHKAN UKHWAH
ALLAH ITU MAHA ADIL
SETIAP MANUSIA ADA KELEBIHAN
YANG PASTI TIDAK SAMA
USAH CEMBURUI KELEBIHAN ORANG LAIN
SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU UNIK
BERSYUKURLAH

Read more...

Saturday, February 6, 2010

Adik kesayangku dan gurunya

Hari ini merupakan hari kelahiran adik kesayanganku, Mohd Effendi atau Ewan. Dalam keluarga, kami memanggilnya adik, kerana dalam keluarga hanya ada aku dan adik. Effa dan Effendi. Orang selalu mengatakan kami anak manja, selalu duduk bawah ketiak mak, tak pandai berdikari dan macam-macam lagi. Namun, aku dan adik terus membesar dengan sepenuh kasih sayang daripada mak dan abah, dan tanpa ambil kisah tentang apa yang orang katakan.
Sejak kecil, kami memang rapat. Setiap kali balik Tadika, aku akan belikan adik jajan, walaupun duit aku tak cukup, tapi jajan untuk adik tetap aku belikan. Semua guru tadika pula sangat senang dengan adik bijak, comel dan cergas di dalam kelas
Sekarang adik aku dah 28 tahun..Jarak usia kami 5 tahun. macam baru semalam, kami pergi ke sekolah menaiki bus Uncle. macam semalam aku melihat adikku bersedih kerana gurunya tidak tahu menghargai dirinya... Gelaran pelajar terbaik diberi kepada orang lain atas dasar................... Argh.. aku benci.
Walaupun mak dan abah tidak berpelajaran tinggi, tapi kami berdua berjaya sehingga ke menara gading. kami takkan izinkan orang terus memandang hina kepada keluarga kami hanya kerana kami bukan orang kaya atau berpangkat. Dan adik, walaupun tidak minat dalam bidang kejuruteraan Adik tetap meneruskan pengajiannya di KUITTHO (kini UTHM) tanpa menangguhkan semesternya. Adik sungguh bersemangat waja. Adik bukan saja memiliki segulung ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal, juga segulung ijazah sarjana Pendidikan. Tidak ramai guru yang melihat potensi adik ketika bersekolah, hanya sebilangan. Namun, di univesiti pensyarahnya mula sedar akan kebolehannya
Kini, aku sebagai Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling. Aikku, Penolong Pengarah JPT di Putrajaya (sebelum ini Penyarah Mekanikal). Bukan untuk berlagak, hanya untuk menggembirakan mak dan abah kami yang telah terlalu banyak berkorban dalam membesarkan kami. kami tidak mahu menjadi guru yang tidak tahu menghargai potensi anak murid tiada empati, tiada belaian dan bersikap pilih kasih

Bagi aku, adik ialah seorang pemuda yang berwawasan dalam hidupnya. Adik seorang yang "workaholic" dan "high expectation". Namun, jika aku soroti sejarah hidup adik, ianya bukan suatu perjalanan yang mudah. Pernah dulu gurunya yang tidak menghargai potensi dirinya hanya kerana kami bukan anak DO, pernah didenda guru walaupun bukan kesalahannya sehingga meninggalkan kesan pada otot kaki, juga pernah memiliki majikan yang langsung tidak tahu menghargai kebolehannya hanya kerana adik orang Semenanjung, juga pernah memiliki kawan baik yang menikam dari belakang hanya kerana dengki dengan kewibawaannya.

Namun, berkat kesabaran adik, kini adik sudah berada di track yang stabil dari segi kerjayanya. Aku sebagai kakak, turut tumpang gembira melihat adikku gembira dengan tugasnya. Memiliki majikan yang tahu menghargai dan "guru" atau "mentor" yang sentiasa membimbingnya
Oleh itu, aku ingin menyeru kepada diriku dan semua guru di luar sana. Usahlah kita hanya memandang anak murid kita berdasarkan kerjaya ibubapa mereka. Kadangkala kita terlupa, tindak tanduk kita kepada anak murid kita telah memberi kesan emosi yang berpanjangan sehingga mereka dewasa. Kita juga memiliki anak. Kita mahu anak kita dilayan baik oleh gurunya. Tapi, bagaimana kita melayan anak orang lain? Cuba kita ingat, berapa kali kita pernah mengherdik, mencaci, memarahi, menghina keluarga mereka, tidak mahu melayan mereka? dan jika kita tahu keburukan mereka , adakah kita berasa bangga menyebarkan cerita keburukan anak murid kita itu? Berapa kali pula kita pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka? Mengucapkan tahniah atas kejayaannya? mengucapkan terima kasih setelah anak murid kita bersusah payah berlatih untuk membuat persembahan ketika hari Guru? mengingati namanya? berempati pada saat mereka bersedih? Rela membuat kelas tambahan percuma?
Jika benar mereka tersilap, bimbinglah mereka dan bukan terus menghukum. Simpanlah aib mereka dan marilah kita membimbing mereka. Jika mereka berpotensi, gilaplah permata itu. Bagi ku, ANGGAPLAH ANAK MURID UMPAMA ANAK KANDUNG KITA. MEREKA MEMERLUKAN PERHATIAN, BELAIAN, BIMBINGAN, KEIKHLASAN DAN KASIH SAYANG.
Jangan hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga... Jangan hanya kerana seorang guru yang membuat onar,rosak tanggapan masyarakat kepada profesion guru yang mulia ini. AKU JUGA TIDAK PEDULI JIKA ADA RAKAN GURU YANG MENYATAKAN AKU BERPURA-PURA MENYAYANGI ANAK MURIDKU. TANGGAPAN MEREKA TIDAK PENTING BAGI AKU

Walau bagaimanapun, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada guru yang telah mendidik aku dan adik sehingga berjaya. Ingin ku kucup tangan cikgu dan mengucapkan terima kasih atas segala jasa mereka, Semoga peluang akan Allah berikan kepada aku untuk berbuat demikian.

Yang lebih utama, untuk mak dan abahku...yang merupakan GURU aku dan adik dalam melayari kehidupan ini. Along dan adik sangat sayangkan mak dan abah

SELAMAT HARI LAHIR ADIK....ALONG TERLALU SAYANGKAN ADIK

Read more...

Friday, February 5, 2010

Disiplin Asas Kejayaan...Bersama PDRM

Terima kasih diucapkan kepada Tuan DSP Adzhar b Othman, Timbalan Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis, Daerah Tg. Malim, Slim River yang telah sudi menerima jemputan SMK Khir Johari pada pagi ini. Tuan Adzhar telah menyampaikan ceramah kepada semua pelajar di dewan sekolah dengan tajuk berkisar disiplin pelajar sekolah
Tuan DSP Adzhar b Othman
nampak serius tetapi berjiwa penyayang
Tuan DSP Adzhar b Othman
sedang rancak berbual di kantin sekolah

Turut hadir Koperal Sukri b Ismail yang peramah

Sebahagian cenderamata yang dibawa oleh pihak PDRM
untuk para pelajar

Bungkusan beg, tanda kenangan
Mengandungi pelbagai pamplet yang berinformasi
buku cenderamata yang menarik
TERIMA KASIH PDRM
Program anjuran bersama Badan Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling ini telah berjalan dengan lancar. Aku sebagai pengacara majlis dalam majlis ini, berasa terharu dengan kerjasama jitu daripada PDRM dan selepas ini aku merancang untuk mengadakan program susulan. Tahniah juga kepada semua anak murid kesayangan mummy yang telah menunjukkan disiplin yang baik, walaupun ada yang "nakal-nakal manja".

Read more...

Tentang Blog Sensasi

Saya suka menulis. Blog ini merupakan blog personal dan apa sahaja yang dituliskan di sini tiada kaitan dengan sesiapa samada secara langsung atau tidak. Elakkan kontroversi dan saya hanya mahu berblogging dan meluahkan isi hati dari sisi pandangan tersendiri. Moga kita saling menghormati dan menyayangi. Mesej keamanan dari Blog Effa Rina My Sensational Blog Zone.

This is a personal blog. The opinion expressed here represent my own and not those of the other persons.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP